-->

MEDAN PENDIDIKAN

I'M JUST AN ORDINARY PERSON....

Instagram

HOT BLOG!!!

Followers

Selasa, 16 September 2014

ESEI PENDIDIKAN= PINTAR-CERDAS

12:03 PTG    No comments


KANAK-KANAK PINTAR CERDAS: MASALAH DAN PROGRAM PENDIDIKAN
oleh Azman Kanil @Konil
PENGENALAN

Satu hari hari semasa menyelia praktikum di dalam sebuah kelas, seorang murid mendekati saya dan bertanya, “Cikgu, mengapa kanak-kanak tahun satu mesti diajar ABC walaupun saya dah boleh membaca?” Kemudian murid tadi terus duduk di kerusinya setelah menerima arahan daripada guru di hadapan kelas. Kemudian dia bangun dan bergerak lagi ke tempat rakannya yang lain untuk membantu rakannya mengeja, pergi ke tempat yang lain mengusik rakan dan menjawab soalan guru tanpa diminta. Saya dapat lihat bermacam-macam lagi aktiviti yang dilakukannya sehingga guru pelatih tersebut kelihatan malas untuk melayan kerenah murid tadi.
Ini satu fenomena yang sering terjadi di dalam sesebuah kelas yang mempunyai kanak-kanak pintar cerdas. Kadangkala kanak-kanak pintar cerdas boleh mendatangkan gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

KONSEP
Mengikut Kamus Dewan, istilah pintar membawa maksud cekap dan pandai. Cerdas pula didefinisikan sebagai sempurna akal. Ahli biologi mendefinisikan pintar cerdas sebagai kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh seseorang individu untuk melakukan adaptasi dan manipulasi terhadap keadaan dan perubahan persekitaran. Pakar psikologi mendefinisikan istilah pintar cerdas sebagai kanak-kanak yang berupaya melakukan taakulan iaitu mempunyai kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat. Kanak-kanak pintar ini berkebolehan mencari dan mengaitkan sebab musabab terhadap sesuatu fenomena yang abstrak.
Menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), kanak-kanak pintar cerdas adalah mereka yang mempunyai interaksi tiga kelompok sifat manusia iaitu kebolehan intelek umum yang atas purata (murid yang mempunyai IQ melebihi 120 dikategorikan sebagai kanak-kanak pintar cerdas), aras yang tinggi dalam tanggungjawab kepada tugas dan aras kreativiti yang tinggi.
Secara umumnya, Dr. Howard Gardner (1981) dalam bukunya Frames of Mind menyatakan bahawa kepintaran seseorang kanak-kanak boleh dilihat melalui tujuh jenis kebolehan iaitu:
  1. Kepintaran linguistik. Kebolehan memberikan makna; melakukan turutan sesuatu perkataan; kebolehan mempelajari beberapa bahasa asing.
  2. Kepintaran logikal (matematik). Kebolehan untuk mencari sebab musabab dalam sesuatu hal atau perkara.
  3. Kepintaran ruang. Kebolehan memberi pandangan tentang dunia dan persekitaran dengan tepat; kebolehan membuat dan mengubah sesuatu persepsi, kemahiran kejuruteraan, artistik dan memori secara visual.
  4. Kinetik badan. Kemahiran bersukan (athletic) dan kemahiran melakukan koordinasi motor.
  5. Kemahiran muzikal.
  6. Kebolehan mengenal pasti irama, “pitch”, intonasi dan melakukan memori auditori.
  7. Interaksi sosial (interpersonal skills).
  8. Kemahiran memahami dan berkomunikasi dengan orang lain.
  9. Hubungan dalaman (intrapersonal).
  10. Kemahiran mengenal pasti emosi diri sendiri dan orang lain.
Menurutnya lagi, seseorang yang pintar cerdas mungkin mempunyai kemahiran luar biasa dalam salah satu daripada tujuh perkara tersebut dan sederhana dalam bidang-bidang yang lain.
Walau apa pun definisi yang diberikan oleh sarjana, namun kita amat sukar untuk memberi definisi kepada maksud pintar cerdas. Sebagai contoh adakah individu berikut boleh diklasifikasikan sebagai pintar cerdas?
  • Seorang profesor yang pakar dalam bidang matematik tetapi kehidupan peribadi dan keluarganya kacau bilau.
  • Seorang ahli muzik yang terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya tetapi menagih dadah.
  • Seorang yang pakar dalam bidang kewangan tetapi melakukan pecah amanah.

Para pendidik telah sedar bahawa konsep pintar cerdas bukanlah merujuk kepada markah IQ semata-mata tetapi juga melihat kepada tanggungjawab dan perkembangan diri individu.

 

CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Kanak-kanak pintar cerdas ini boleh dilihat beberapa ciri-ciri yang penting dari sudut emosi dan sosialnya. Antara sifat positif yang ada pada kanak-kanak pintar ialah:
  1. Mereka dapat mempelajari sesuatu perkara dengan cepat.
  2. Mereka mempunyai tahap imaginasi yang tinggi dan kurang mengikut idea orang lain.
  3. Mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan banyak bertanya soalan. Mereka juga berminat mengetahui pelbagai hal.
  4. Memerhati dengan teliti dan peka dengan persekitaran.
  5. Mereka boleh memberi sebab, berfikir dengan jelas, mengenali perkaitan dan memahami makna.
  6. Mereka juga mempunyai sifat kelakar.
  7. Boleh menggunakan alat-alat, perkataan dan idea dengan cara yang baru.
  8. Sangat berminat dengan bahan-bahan bacaan terutama bahan di peringkat yang tinggi.
  9. Mempunyai perbendaharaan kata yang luas dan dapat menggunakannya dengan tepat.
  10. Boleh mencipta banyak generalisasi dan menggunakannya dalam situasi yang baru.
  11. Mempunyai konsentrasi yang lama dalam satu-satu bahan yang menarik minat mereka.
  12. Mempunyai kemahuan untuk mencapai yang terbaik.
  13. Mempunyai watak kepimpinan dalam pelbagai aktiviti dan selalu meminta pendapat serta idea orang lain
            Antara ciri-ciri negatif kanak-kanak pintar cerdas pula ialah:
  1. Mudah berasa bosan jika diberi tugasan yang sama sahaja.
  2. Mahu membuat sesuatu perkara mengikut caranya sendiri. Sekiranya tidak dibenarkan mereka akan mempersoalkan mengapa tidak boleh?
  3. Kadangkala boleh menjadi seorang pengacau atau yang suka menimbulkan masalah.
  4. Mereka juga dapat melihat sesuatu perkaitan yang orang lain tidak dapat lihat dan mahu menggunakan masa yang banyak untuk membincangkan hal tersebut.
  5. Kadangkala mereka tidak mahu memberhentikan sesuatu aktiviti dan memulakan aktiviti yang lain.
  6. Boleh terlalu bersikap autokratik.
  7. Kadangkala  terlalu inovatif.
  8. Mereka juga biasanya tidak mendengar sesuatu arahan dengan teliti.
  9. Mereka juga bersikap seolah-olah sentiasa tahu mengenai sesebuah buku tetapi pengetahuan itu tidak berkaitan langsung dengan topik perbincangan di dalam kelas.
  10. Mereka juga bersikap terlalu terganggu dengan sesuatu kegagalan yang diterima (tidak menerima kegagalan).
  11. Boleh menjadi terlalu mengarah dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain.
  12. Boleh menghasilkan kelakar yang boleh “mengena” pada orang dewasa tetapi tidak semua menghargainya.
  13. Apabila melihat seorang guru yang tidak konsisten dengan arahannya maka dia akan berkata, “Tapi, cikgu selalu kata….”
Program Pendidikan
Memandangkan kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kemahiran belajar yang berlainan daripada kanak-kanak biasa maka para pendidik perlu merangka satu program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak ini.
Menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), program pendidikan kanak-kanak pintar cerdas ini terbahagi kepada tiga bentuk umum iaitu pengayaan, percepatan dan pengelompokan.
Program pengayaan terdiri daripada tiga jenis aktiviti iaitu pendedahan, latihan berkelompok dan penyelidikan masalah sebenar.
Program Pengayaan
Aktiviti pendedahan. Murid diberi kebebasan atau ruang untuk mempelajari bidang yang diminati. Satu sudut yang lengkap dengan pelbagai bahan pengayaan disediakan di bilik darjah. Maklumat-maklumat pengayaan seperti apa yang menarik dalam bidang tersebut , dari mana boleh mendapatkan maklumat tambahan, apakah isu-isu semasa dalam bidang ini,  disediakan. Selain daripada majalah, pampflet dan buku-buku, guru juga perlu mengadakan aktiviti lawatan, ceramah, tayangan video dan sebagainya sebagai aktiviti pendedahan.
Latihan berkelompok. Ini merupakan program latihan bagi meluaskan skim pemikiran kanak-kanak. Antara aktiviti latihan ini termasuklah pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kaedah projek dan inkuiri-penemuan.
Penyelidikan masalah sebenar. Kanak-kanak pintar cerdas diberi latihan secara kumpulan kecil. Mereka diberi latihan dan bimbingan khusus untuk menyelidik masalah sebenar. Aktiviti ini menggunakan teknik inkuiri-penemuan iaitu kanak-kanak pintar cerdas tadi bermula dengan pembentukan sesuatu masalah, memahami masalah yang dibentuk, menyediakan pelan tindakan, menjalankan rancangan penyelidikan, membuat laporan dan membuat refleksi untuk membina skim penghayatan yang mantap.
Program Percepatan
Ini bermaksud kurikulum yang diajar kepada kanak-kanak pintar cerdas itu dihabiskan dengan  cepat. Ada beberapa cara untuk melaksanakan program ini seperti kanak-kanak yang lebih muda memasuki tahun satu persekolahan, melangkaui kelas, melangkaui sebahagian daripada masa kelas untuk mengikuti mata pelajaran tertentu dalam kelas yang lebih tinggi (mengikut minat dan perkembangan intelek) dan memendekkan tempoh pengajaran seperti kurikulum setahun diajar dalam tempoh 6 bulan dan lebihan masa iti digunakan untuk mempelajari kurikulum yang lebih tinggi
Program Pengelompokan
Program ini menentukan bahawa kanak-kanak dalam kategori pintar cerdas ini  dikumpulkan  dalam satu kelas dan diberi bimbingan yang sesuai oleh guru yang terlatih. Program pengelompokan ini memerlukan satu penilaian yang standard untuk menentukan tahap kanak-kanak pintar cerdas. Langkah ini juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk menikmati pembelajaran yang lebih sempurna.
Komputer dan Kanak-kanak Pontar Cerdas
Geoffrey Jones dalam artikelnya bertajuk, “Personal Computers Help Gifted Students Work Smart” telah menggariskan kebolehan-kebolehan komputer dalam memenuhi keperluan belajar kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah
  • Teknologi komputer yang fleksibel akan memudahkan gaya pembelajaran dan minat individu untuk berinteraksi dengan gambar, perkataan, nombor atau sebarang medium yang memberi keselesaan kepada pelajar.
  • Struktur pengalaman yang direka oleh guru-guru terlatih akan membantu pelajar untuk membina kekuatan dan mengatasi kelemahan-kelemahan mereka. Word Processorsdapat memperbaiki penulisan dan pengolahan idea-idea. Program-program komputer yang berkaitan dengan data statistik boleh membantu pelajar menyelesaikan pelbagai soalan yang mencabar minda mereka. Pelajar-pelajar akan bertambah yakin membina pelbagai “skills” mereka.
  • Komputer juga boleh digunakan untuk menyaingi kehendak pelajar. Komputer dapat “bersabar” dan menguasai pada satu-satu idea untuk jangka masa yang panjang. Komputer juga boleh melakukan kerja-kerja yang kompleks apabila para pelajar telah bersedia untuk menggunakannya.
  • Apabila para pelajar telah menerima sesuatu tanggungjawab dan menguasai penggunaan komputer, mereka akan bekerja dengan lebih cekap. Komputer berkhidmat untuk masyarakat. Semakin baik pemahaman pelajar tentang proses pembelajaran, mereka akan dapat menggunakan teknologi ini dengan cekap.
  • Masyarakat belajar daripada masyarakat. Maklumat dan idea daripada masyarakat luar boleh didapati dari komputer. Para pelajar akan dapat dihubungkan melalui “software”, papan buletin atau perbincangan dan projek kumpulan. Para pelajar akan lebih terdedah kepada golongan masyarakat yang berilmu dan bijak menerusi teknologi komputer ini.
KESIMPULAN
Kanak-kanak pintar cerdas adalah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada makhluk-Nya. Peranan ibu bapa,  pendidik, dan masyarakat amat diperlukan untuk membentuk kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi satu aset yang paling berharga dalam masyarakat. Kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak ini bukan hanya dibangunkan dari aspek intelek semata-mata malah pembangunan akhlak atau spiritual amatlah dipentingkan. Tidak hairan kepada kita sekiranya ada kanak-kanak pintar cerdas ini yang hanya menjadi penjual rokok di tepi jalan atau penebar roti canai kerana masalah kemiskinan atau mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan masyarakat pada kebolehan yang ada pada kanak-kanak tadi.    
RUJUKAN
Gardner, H., 1983. Frame Of Mind: The Theory Of Multiple Intelligence. New York : Basic Books.
Hasan Hj Mohd Ali, 1996. Mendidik Anak Pintar Cerdas. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Hasnah Udin, 1992. Bimbingan Kanak-kanak Luar Biasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jones, G., 1990. Personal Computers Help Gifted Students Work Smart. ERIC Digest.
Noor Aini Khalifah dan Nik Azis Nik Pa, 1989. “Kanak-kanak Pintar Cerdas: Satu Perspektif Bersepadu Tentang Konsep , Masalah dan Program Pendidikan” dalam Jurnal Pendidikan,Universiti Malaya.

E-melkan Ini BlogThis! Kongsi pada X Kongsi ke Facebook
Catatan Terbaru Laman utama

0 ulasan:

Catat Ulasan

Social Profiles

TwitterFacebookGoogle PlusLinkedInRSS FeedEmail
  • Popular
  • Tags
  • Blog Archives

Popular Posts

  • Mind Map
    TUGASAN 1                                                             Kemahiran Belajar Cemerlang Kemahiran Lite...
  • ESEI PENDIDIKAN= PINTAR-CERDAS
    KANAK-KANAK PINTAR CERDAS: MASALAH DAN PROGRAM PENDIDIKAN oleh  Azman Kanil @Konil PENGENALAN Satu hari hari semasa menye...
  • MENGENAL PASTI KANAK- KANAK BERMASALAH PENDENGARAN
    Kanak- kanak cacat pendengaran sering menghadapi masalah komunikasi dan sukar mempelajari sebutan perkataan- perkataan dengan jelas dan tepa...
  • VIDEO BAHASA ISYARAT
    Bagi kanak- kanak yang mengalami masalah pendengaran, bahasa isyarat amat penting dalam membantu mereka berkomunikasi. SELAMAT MENC...
  • KONSEP PENDIDIKAN KHAS
              Secara amnya, Pendidikan Khas ialah program pendidikan dirancang khusus untuk kanak- kanak berkeperluan khas, iaitu kanak- kanak ...
  • MASALAH PENDENGARAN
    MASALAH PENDENGARAN Definisi Ia adalah masalah-masalah yang menjejaskan komunikasi – masalah bercakap atau memahami apa yang diperkat...

Arkib Blog

  • ▼  2014 (6)
    • ►  November (1)
    • ►  Oktober (2)
    • ▼  September (3)
      • Mind Map
      • VIDEO BAHASA ISYARAT
      • ESEI PENDIDIKAN= PINTAR-CERDAS

Recent Posts

Download

 
Copyright © 2011 MEDAN PENDIDIKAN | Powered by Blogger.
Design by FThemes.com | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Templates
Free WordPress Themes